Tuesday, March 22, 2016

Kuih Lapis

Assalamualaikum. Hari ni saya sedikit rajin kerana setelah agak lama saya tidak mengeluarkan pengukus, hari ni saya kembali memanaskan pengukus. Alkisah beberapa hari lepas bonda saya ada membeli tepung beras dan bila ditanya nak masak apa dengan tepung beras, bonda menyatakan hasrat nak makan kuih lapis. Setelah bertangguh beberapa hari, hari ini saya merajinkan diri untuk membuat kuih lapis. Resepi asal dari Kak An tuan punya blog "periuk tanah". Ini adalah kali ke 3 saya menggunakan resepi dari blog ini. Terima kasih kepada tuan punya blog. Cuma saya gantikan tepung gandum dengan tepung ubi. Ini kerana menurut tips yang saya dapat dari makcik kat tempat kerja lama saya, katanya penggunaan tepung ubi akan menghasilkan kuih lapis yang cantik berkilat. Sejak itu, saya selalunya akan tambah tepung ubi dalam adunan kuih lapis.

Jom tengok resepi. Ini adalah versi yang lebih ringkas. Kalau nak tengok resepi asal boleh tengok kat blog Kak An atau boleh juga cari kat blog saya ni. Entry dulu2.

Kuih Lapis

Bahan- Bahan:

1 cup tepung beras
2 cup santan sederhana pekat
2 tbsp rata tepung ubi
2 tbsp rata tepung jagung
1/2 cup gula
1/4 tsp garam
Pewarna

Cara Penyediaan:

1- Satukan semua bahan dan kacau sebati. Ini versi malas ye. Sekiranya anda rajin, boleh la panaskan santan sehingga suam2 kuku sebelum dicampurkan semua bahan2 lain. Kacau sebati semua bahan dan tapis.

2- Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan. Hari ni saya bahagikan kepada 3 bahagian dan letakkan pewarna merah dan sedikit perisa sirap, 1 bahagian lagi diletakkan sedikit pewarna hijau manakala 1 bahagian dibiarkan warna asal.
Sebenarnya untuk kuih lapis saya lebih suka warna merah dan putih yang berperisa sirap ros. Ini adalah versi original kuih lapis. Bau perisa sirap ros itu yang menyedapkan lagi kuih lapis. Ini bagi pendapat saya ye. Tapi hari ni teringin nak buat kuih lapis hijau dan putih serta lapis merah putih.

3- Seterusnya boleh dikukus lapis demi lapis. Terpulang kepada anda sama ada anda mengukus dalam loyang atau dalam acuan kecil. Saya suka memasak didalam acuan lompang atau acuan muffin kerana senang untuk dihidangkan. Ini kerana sekiranya anda mengukus didalam loyang, anda perlu pastikan kuih sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong untuk mendapatkan hasil potongan yang lebih kemas dan cantik.

Happy Cooking...